Bismillahirrahmanirrahim…
Mengapa saya berniqab? Mengapa? Soalan ni pantas dilontarkan
tatkala diri masih berkira-kira untuk memulakan… perang batin antara mahu atau
tidak sering berlaku dalam minda, ibarat sebuah panggung wayang di mana watak
utamanya berperang dan menentang watak jahat, dan akhirnya menang. Tapi realiti
tak selalu begitu. Perang batin baik dan jahat dalam diri tak selalunya
dimenangi oleh pihak yang benar. Iman manusia yang turun naik sentiasa berlawan
dengan nafsu yang ingin menguasai akal, seterusnya anggota badan bagi
melaksanakannya.
Mengapa niqab? Apa hukumnya? Apa tujuannya? Apa manfaatnya?
Apa kesan sampingannya? Ibu bapa bagaimana? Inilah antara soalan-soalan utama
ketika diri mencari hujah untuk berniqab, seperti soalan-soalan pokok yang
digunakan untuk menghuraikan isi karangan.
Mengapa berniqab? Soalan ini akan dijawab oleh dengan
jawapan bagi soalan-soalan seterusnya. Apa hukumnya? Saya bukanlah pelajar
jurusan agama mahupun ulama besar yang terkenal dengan dalamnya ilmunya. Saya
cumalah seorang pelajar muslimah jurusan bioteknologi yang masih mentah
dahagakan ilmu dan cinta Allah dan akan (insyaAllah)bermatian mengejar syurga
Allah. Memadailah saya katakan bahawa saya yakin akan sunat hukum berpurdah.
Purdah isu khilaf, banyak fatwa mengenainya, namun saya memilih untuk
mengenakan purdah walaupun lebih utama untuk tidak berpurdah pada zaman dan
situasi sekarang. Saya bersyukur tinggal di Negara Islam yang mana solat
bukanlah dicap sebagai perhimpuan haram pertubuhan keganasan, jadi bagi saya
tidak menjadi masalah untuk saya mengenakan secebis kain di wajah.
Apa tujuannya? Cuma satu. Mengejar redha Allah. Mengikuti
sunnah Ummul Mukminin itu dicintai Allah. Jadi, saya mahu menjadi orang yang
dicintai Allah. Bukan untuk menarik ‘lelaki soleh’, bukan untuk menunjuk baik,
bukan untuk menjadi ustazah.
Apa manfaatnya? Tak terkira.
Yang tertutup itu istimewa, lebih terlindung daripada
pandangan-pandangan orang yang sakit hatinya, lebih dihormati rasa lebih
selamat dan secara langsung, purdah menjadi ‘reminder’ kepada diri kita selaku
muslimah supaya menjadi sebenar-benar muslimah. ‘’aku pakai purdah:aku
mngumpat’’ tak sesuai bukan? “aku berpurdah: aku bercinta dengan lelaki yang
belum jadi suamiku” aneh bukan? “aku berniqab: aku malas solat di awal waktu”.
Bersoal-jawablah dengan diri sendiri sebelum bersoal-jawab dengan Allah pada
hari kiamat nanti.
Apa kesan sampingannya? Tak banyak jika dibandingkan dengan
manfaatnya. Kesannya, mungkin sukar sedikit untuk makan di luar. Ada akhwat yang
memilih untuk duduk di tempat yang tersorok kemudian membuka niqabnya supaya
dapat makan dengan selesa, ada yang memlih untuk makan tanpa membukan niqab,
dan ada yang memilih untuk membawa niqab lebih supaya mudah ditukar andai
tercalit kotoran.
Ibu bapa bagaimana? Kalau nak dihuraikan yang ini, panjang
lebar nanti kisahnya. Ibu bapa saya tak menghalang dengan syarat saya pandai
membawa diri, jangan mencemarkan imej wanita berpurdah. InsyaAllah akan
istiqamah. Kalau ibu bapa menentang, saya nasihatkan, ikut kata-kata ibu bapa
lebih utama daripada isu khilaf seperti purdah. Mintalah izin suami untuk
berpurdah saat sudah menjadi miliknya yang sah. Mungkin suami akan memberi sokongan penuh,wallahua’lam. Berniqab tak semetinya lebih baik daripada yang
memilih untuk tidak berniqab, sama juga yang tidak berniqab juga tak semestinya
lebih baik. Iman itu rahsia Allah. Kita Cuma mampu berusaha, dengan izin Allah
jualah segala ketetapan.
Wallahua’lam.